EXTRA

by ibnu yusof

Disini bermulanya sebuah kisah….

Kira-kira hari jumaat baru-baru ini saya mendapat panggilan dari seorang sahabat yang dalam perjalanan menghantar jemaahnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Saudi kerana mereka dalam perjalanan pulang ke Abu Dhabi.


“Ustak Syah !!! Enta ade keje dok malam ni. Ambe nok mitok tulong skek ni. Malang ni ade sorang datok ngan dating nok wak umroh. Enta tulong bowok ah deh. Hehehehe.

Yang membawa maksud ~ ustaz syah! Enta ade kerja tak malam ni? Ana mahu meminta sedikit pertolongan dari enta. Pada malam ini akan ada sepasang suami isteri dato dan datin akan buat umrah. Bolehkah enta tolong bawakkan? Hehehehe ~


Tidak berapa lama kemudian telefon saya berdering lagi dan kali ini suara sedikit berumur yang memberikan salam.

Assalamualaikum… ni Pak Abu ni. Ustaz falah ade telefon tak? Engkau ni yang mana satu ye? Kite pernah jumpa ke? Maaf laa… pakcik ni ibarat cikgu. Anak murid datang … anak murid pergi. Diorang kenal pak cik cume pakcik je yang tak kenal dioarang… So macam mana? Boleh ke kau tolong pak cik bawakkan jemaah 2 orang tu? Kalau boleh malam ni lepas isyak kau datang ke hotel, nanti pakcik kenalkan kau dengan jemaah tu. Ni kawan pak cik yang mintak tolong. Pakcik tolong je. Ok?


Bermulalah sebuah cerita yang agak bermanfaat dalam hidup saya.

Lebih kurang jam 930 malam saya mula membawa Dato’ Syed Abu Hussein dan Datin Nasri memulakan ibadah tawaf umrah selepas memberikan sedikit penerangan ringkas kepada mereka mengenai ibadah umrah. Bukanlan suatu perkara yang sukar untuk memberikan penerangan kepada mereka berdua kerana keduanya adalah orang yang bijak pandai dan Dato’ Syed Abu Hussein pula sudah biasa datang untuk menunaikan ibadah umrah dan haji.

Alhamdulillah segala ibadah tawaf dan saie diselesaikan dengan baik dan mudah. Dan Allah memudahkan perjalanan perjalanan kami pada malam itu. Orang yang tawaf tidak terlalu ramai seperti sebelumnya mungkin kerana orang ramai telah pulang dari bercuti memandangkan cuti sekolah disaudi telah berakhir.

Lebih kurang jam 1130 malam kami selesai menunaikan ibadah umrah.selesai bertahallul dan berdoa diatas saki baki bukit marwah, kami bergerak menuju ke tempat penyimpanan kasut dan selipar di pintu nombor 1 King Abdul Aziz.

TAK ADA!!!... KALUT!!!

Beg kain yang didalamnya terdapat dua pasang selipar milik dato dan datin dah tak ada. Manakala kasut saya masih kemas ditempat asal tidak bergerak walau seinci.. Takut jugak rasanya andai kata dimarahi oleh mereka. Tetapi Alhamdulillah mungkin berkat dari ibadah yang dilakukan dan memang berasal dari orang-orang yang baik-baik, mereka hanya tersenyum dan berkata “ tak apelah ustaz.dah tak ada rezki kami… jom ustaz kite pergi cari makan. Kami belum makan ni.” semudah itu sahaja. Jutaan kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana ditemukan dengan orang sebaik ini yang tidak mudah melatah dengan ujian yang diberikan. Maka kami berjalan menuju ke Safwah Tower untuk mencari kedai-kedai makanan yang masih dibuka pada ketika itu. Alhamdulillah masih ada kedai yang masih dibuka bertentangan dengan felda d’saji. Kalau tak silap kadai tyu namanya Cup a Corn.

Kami makan sambil berbual-bual mengenai pelbagai perkara yang berlaku samada di Malaysia dan juga disaudi. Satu persatu kami huraikan dengan mengemukakan pendapat masing-masing dan dihimpunkan menjadi satu keputusan di kedai kopi. Seperti parlimen pulak rasanya. Malam semakin larut dan perbincangan kami berakhir. Saya menghantar dato dan datin ke tempart penginapan merka di hotel Zam-zam Tower. Pertemuan kami pada malam itu berakhir disitu.

Telefon berbunyi air yang sedang menitik menunjukkan telah menerima satu mesej daripada seseorang.

Ustaz… kalau free boleh tak bawakkan kami makan kambing malam ni? Ajak haji abu sekali .

Oooo… dato rupanya yang hantarkan mesej.

Selepas solat isyak di masjid haram kami bertolak ke mat’am safa tanpa kehadiran pak abu bersama. Mungkin kerana kesibukan melayan jemaah cantumas yang menyebabkan pak abu terpaksa mengundurkan diri.

Di mat’am safa kami makan sambil berbual-bual. Rupa-rupanya dato syed mempunyai kilang memproses makanan halal seperti sardine, beras, kicap yang berjenama masjid. Dan katanya sardine buatan orang islam yang ada dipasaran hanyalah cap masjid dan pertima sahaja. Jika ada antara pembaca sekalian yang meminati makan dalam tin seperti sardine ini bolehlah mencuba barangan buatan orang islam.

Dato juga bercerita mengenai sikap sesetengah orang melayu yang lebih suka untuk berurusan dangan orang cina yang bukan islam daripada orang melayu islam. Katanya beliau bercakap berdasarkan pengalaman kerana dato syed juga salah seorang pembekal ayam mentah dan daging lembu mentah yang ditempah dari india. Beliau berkata para peniaga melayu lebih mementingkan keuntungan 10 sen kerana diberikan harga lebih murah bagi setiap kilo daging @ ayam daripada membeli bahan mentah yang pastinya halal yang dibekalkan oleh org islam yang berbeza harga sebanyak 10sen bagi setiap kilo. Sungguh menyedihkan.

Saya bertanya kepada dato apakah resepi kejayaan yang menyebabkan beliau mampu mendapat kejayaan seperti sekarang. Jawabnya mudah sahaja.
EXTRA… awak akan menjadi orang biasa jikalau awak bekerja seperti orang biasa. Dan sekiranya awak mahu menjadi orang yang mempunyai EXTRA maka awak perlu bekerja EXTRA, berfikir secara EXTRA dan bergerak secara EXTRA. Maka insya Allah awak akan dapat EXTRA. Suatu petua yang amat mudah didengar. Tetapi amat memerlukan kegigihan untuk membuat sesuatu yang EXTRA supaya menghasilkan sesuatu yang EXTRA.

Banyak lagi perkara yang kami bualkan bersama. Tetapi amat panjang jika saya menceritakan semuanya. Insya Allah jika ada kelapangan saya akan masukkan sedikit demi sedikit pengalaman yang saya ambil dari orang-orang yang berpengalaman untuk dikongsikan bersama-sama. Semoga kita semua akan mendapat manfaat dari apa yang ditulis ini. Sekian dulu untuk kali ini. Wassalam.





1 comments:

My Life said...

assalamualaikum ustaz..
betul kata dato' tu ustaz.. kena jadi "EXTRA" kalau nak yg terbaik....

Post a Comment