Taif the series (part 2)

by ibnu yusof





masjid Abdullah bin Abbas


antara kegiatan penduduk kota taif


prophet garden....

dikawasan inilah yang dikatakan nabi berehat selepas diserang oleh bani thaqif dan di masjid inilah dikatakan nabi bertemu dengan 'adas



Rasulullah dan dakwah di Taif


Taif adalah satu kawasan yang subur dengan tumbuhan dan tanaman. Sejak berkurun lamanya bandar ini telah didiami oleh satu qabilah yang besar yang bernama bani thaqif. Qabilah ini telah membina satu kawasan perkampungan yang kukuh dan mempunyai benteng pertahanan untuk menahan serangan daripada musuh-musuh. Mereka menyara kehidupan seharian dengan melakukan aktiviti pertanian dan penternakan. Mereka juga mempunyai sumber air dan makanan yang banyak sehingga mampu untuk bertahan sehingga beberapa tahun jika mereka dikepung.Dan sekarang ini perkampungan ini telah menjadi salah satu tempat yang menyalurkan bekalan air bersih ke seluruh bandar taif.


Setelah kematian abu talib dan hampir berputus asa berdakwah kepda musyrikin Makkah untuk kembali kepada Allah, Nabi Muhammad cuba untuk mengubah strategi dakwah baginda. Baginda cuba untuk menjadikan taif sebagai sasaran seterusnya untuk mengembangkan agama Allah. Mungkin kerana diantara mereka ada yang mempunyai hubungan darah dengan baginda, jadi baginda menyangka mereka akan mudah untuk menerima seruan baginda untuk kembali kepada Allah dan meninggalkan agama nenek moyang mereka yang telah lama mereka anuti.


Setibanya nabi di taif baginda segera bertemu dengan beberapa orang pembesar bani thaqif untuk menyatakan tujuan kedatangan baginda ke taif. Baginda mengharapkan mereka akan menerima ajaran islam dengan sebaiknya akan tetapi sebaliknya yang berlaku. Baginda dicerca,ditohmah dan dihina dengan seteruk-teruknya oleh pemimpin bani thaqif. Malah para pembesar telah menyuruh anak-anak mereka dan penduduk-penduduk taif untuk menyerang nabi dan melontar batu ke arah nabi. Darah menitis dari segenap tubuh nabi yang mulia sehingga menitik ke permukaan bumi. Seluruh alam merasa sedih melihat penderitaan yang dialami oleh kekasih Allah yang berjuang demi menunaikan peintah dan suruhan tuhannya.


Rasulullah melarikan diri sehinggalah tiba disebuah kebun anggur dan berehat dibawah rimbunan dedaun anggur. Kebun anggur itu dimiliki oleh dua bersaudara yang bernama utbah bin rabi’ah dan syaibah bin rabi’ah. Ketika mana rasulullah sedang berehat, datanglah malaikat jibril mengadap baginda lalu berkata “ Wahai Muhammad! Adakah engkau mahu aku hentamkan seluruh bani thaqif ini dengan bukit?” maka rasulullah menjawab “ Jangan wahai jibril.Sesungguhnya mereka adalah golongan orang-orang yang jahil.”


Ketika mereka sedang berada dikawasan kebun, mereka melihat seorang lelaki memasuki kebun mereka dan berehat dibawah pohon anggur yang rendang dalam keadaan letih dan badannya dipenuhi darah yang masih menitis. Mereka hanya memerhatikan dari jauh. Lalu Allah mencampakkan perasaan kasihan ke dalam hati mereka dan Allah telah melembutkan hati mereka supaya mahu menolong nabi Muhammad SAW. Mereka memanggil seorang hamba mereka yang bernama ‘adas dan berkata “ Wahai ‘adas! Engkau ambil anggur ini dan letakkan didalam satu bekas dan engkau hantarkan anggur ini kepada lelaki yang duduk dibawah pokok disana dan suruh dia makan buah anggur ini”. ‘Adas yang beragama nasrani pada ketika itu terus membuat perkara yang disuruh oleh tuannya dan menuju kepada Rasulullah. Apabila tiba dihadapan rasulullah, ‘Adas berkata “ Makanlah wahai lelaki! Anggur ini tuanku memberikannya kepada mu untuk kamu makan.” Rasulullah mengambil buah anggur dan menyebut Bismillah dan kemudian memakan anggur tersebut. ‘Adas mendengar sebutan itu dan terpegun lalu memandang tepat ke wajah rasulullah kemudian berkata “ Demi Allah perkataan ini tidak akan sekali-kali disebut oleh penduduk di negeri ini.” Rasulullah bertanya “ Wahai ‘adas! Dari manakah asal-usul mu dan apakah agama mu?” lantas ‘adas menjawab “ Aku beragama nasrani dan aku berasal dari bandar nainawa.” Kemudian rasulullah berkata lagi “ Kamu datang dari sebuah kampung seorang lelaki yang soleh yang bernama Yunus bin Mata.” Maka bersegeralah ‘adas bertanyakan rasulullah “ Bagaimanakah kamu mengetahui akan perihal yunus bin mata?”. Rasulullah menjawab “ Sesungguhnya dia adalah saudaraku. Dia adalah nabi dan aku juga seorang nabi sepertinya. Maka melututlah ‘adas dihadapan rasulullah dan terus mencium kepala, tangan dan kaki rasulullah yang mulia.


Kejadian ini diperhatikan oleh tuan pemilik kebun dan mereka merasa hairan akan peristiwa itu. Lalu berkata “ Sesungguhnya hamba mu itu telah tertipu dengan lelaki tersebut”. Apabila ‘adas kembali kepada tuannya lalu mereka berkata “ Celakalah engkau wahai ‘adas. Kenapakah kamu mencium kepala, tangan dan kaki lelaki itu? Maka ‘adas menjawab “ Wahai tuan ku! Apakah perkara di muka bumi ini yang lebih baik daripada perkara ynag telah kau lakukan tadi? Sesungguhnya lelaki itu telah memberitahu aku perkara yang tidak diketahui oleh sesiapa pun melainkan nabi”. Maka berkatalah kedua-dua tuanya “ Celakalah kamu wahai ‘adas! Janganlah engkau berpaling dari agama mu kerana agama mu adalah lebih baik dari agamanya!”.


Begitulah cerita kisah perjalanan dakwah rasulullah di taif dan kisah keislaman seorang hamba yang bernama ‘adas. Semoga dengan cerita ringkas ini dapat lagi menambahkan rasa kecintaan kita kepada rasulullah dan lebih bersungguh-sungguh dalam menyebarkan agama Allah taala. Sekadar ini dahulu buat kali ini. Wallahu’alam.

1 comments:

The Lonesome Traveler said...

Info yang sangat menarik. Jazakallahukhair dik. Keep on writing.

Post a Comment